Pages

Tuesday, February 19, 2013

Mati itu pasti

Mati itu pasti. Ianya sentiasa dan sering dekat dengan kita.


Ahad 11 November 2012, pakcik sebelah kiri rumah yang telah beberapa hari di hospital yang seratus peratus bergantung kepada mesin oksigen dikabarkan akan dibawa pulang ke rumahnya kerana kata doktor, sudah tidak boleh 'dibuat' apa-apa. Keluarganya redha, mahu dia 'pergi' di rumah mereka. Seawal pagi, ambulans tiba..sebaik dibaringkan di ruang tamu rumah, bekalan oksigen yang menyambung hayatnya dicabut disaksikan seluruh ahli keluarga dan jiran-jiran. Redha dan pasrah. Itu yang terbaik untuknya. Al-fatihah.

Aku pulang ke rumah setelah hadiahkan Yasin buat arwah. Dapat satu pesanan SMS, bapa saudaraku telah dikejarkan ke hospital. Hati bergetar. Emak gelisah, abangnya yang sentiasa kelihatan sihat walaufiat itu kini di hospital. Kami ambil keputusan tidak terus ke hospital, memandangkan hospital itu dari rumah kami agak jauh, empat jam perjalanan. Apatah lagi jiran sebelah rumah baru meninggal, belum kebumi pun lagi. Dari jauh hanya doa dan terus berdoa.

Selasa 13 November 2012, cuti sempena Depavali. Pagi-pagi kami bertolak ke sana. Hati hiba, emak saudaraku yang telah beberapa malam berkampung di hospital itu menangis risaukan keadaan suaminya. Kami juga. Tidak sanggup melihatnya sedang bertarung nyawa di dalam Cardiac Intensive Care Unit (CICU) dengan pelbagai wayar ditubuhnya. Semuanya secara tiba-tiba. Keesokannya, keadaanya semakin kritikal. Semakin ramai saudara-mara dan kenalan datang melawat. Tetapi beransur stabil kemudiannya. Lewat petang, hari kedua di sana, aku ambil keputusan untuk pulang ke rumah. Adik lelakiku yang sedang  menghadapi peperiksaan SPM perlu pulang untuk persediaan kertas peperiksaan seterusnya pada isnin hadapan. Mak abah kakak mahu terus menemani di hospital. Kami sampai di rumah agak lewat malam.

15 November 2012 bersamaan 1 Muharram 1434h, seawal 7 pagi aku terima perkabaran yang sungguh aku tidak mahu tahu. Bapa suadaraku itu telah 'pergi'. Perjuangannya di CICU telah berakhir. Dia betul-betul pergi berhijrah. Allahhu Akbar! Jenazah akan dikebumikan di kampung halaman. Aku dan adik bergegas ke sana. Sepanjang perjalanan air mata aku mengalir tanpa mampu aku sekat. Mulut tidak henti dengan membaca al-Fatihah. Terbayangkan wajah suci arwah, wajah lembut emak saudaraku untuk menghadapi semua ini, juga anak-anak arwah seramai sepuluh orang yang masih kecil dan remaja itu. Allahhu Akbar! Jenazah yang telah siap dimandikan oleh anak-anak lelaki arwah dan disembahyangkan di sana, dibawa ke masjid di kampung sebelum dikebumi. Ramainya orang datang menziarah. Arwah disembahyangkan sekali lagi di masjid itu. Jenazah dibawa ke tanah perkuburan sebaik jemaah selesai solat fardu Zohor. Segalanya dipermudahkan. Urusan hospital mudah. Urusan bawa balik jenazah mudah. Urusan pengebumian mudah. Arwah pergi di waktu semua orang tengah cuti. Di waktu cuti sekolah baru bermula. Memudahkan urusan pemindahan sekolah anak-anaknya. Setelah arwah pergi, isteri dan anak-anaknya berhijrah ke negeri kelahiran isterinya. Bila tanya adik, anak bongsu arwah yang berumur 4 tahun. "Adik, mana abah?" dia akan jawab.. "Abah dalam hati adik!" sambil tangan tepuk-tepuk dada. Hiba.

Selasa 12 Februari 2013, jiran sebelah kiri rumah sekali lagi ditimpa musibah. Allahhu Akbar! 3 bulan lalu, suaminya meninggal dunia. Hari ini, adiknya pula. Arwah yang sudah lama menderita barah payudara dan sudah hampir sebulan di hospital akhirnya pergi menghadap Illahi. Arwah masih muda, dalam 35 tahun umurnya dan belum berkahwin. Al-fatihah.

Khamis 14 November 2013, 2.00 pagi. Ketika semua orang sedang tidur, sayup-sayup terdengar orang mengetuk-mengetuk pintu rumah dan memanggil orang di dalam rumah aku. Dalam mamai dapat aku cam, itu suara jiran sebelah kanan rumahku. Aku terus bangkit, pasti ada yang tak kena. Ayah tak sedar! itu katanya sebaik emak membuka pintu. Ya Allah! ayahnya memang sudah lama tidak sihat. Tetapi masih boleh berjalan dan bekerja walau sudah tidak berapa kuat. Bergegas mereka bawa ke klinik. Aku dan emak kembali balik ke rumah. Sedang aku berdoa, moga tiada perkara buruk berlaku, anak jiranku itu menelefon meminta tolong untuk mengemas rumahnya, ayah dah tak ada katanya. Aku terdiam, kelu! Ya Allah beratnya dugaan ini! Aku sempat solat sunat tahajjud sebelum kembali ke rumah jiranku itu. Menanti jenazah tiba, sambil membaca Yasin. 5 hari sebelum itu, arwah ada buat kenduri di rumahnya. Sembelih seekor lembu. Katanya, saja buat makan-makan nak sedekah, dan dia mahu ahli keluarga, jiran-jiran dan kenalannya berkumpul. Seolah tahu dia sudah mahu pergi.

Sedangkan kita rasa sedih, apatah lagi keluarga-keluarga ini. Mereka sangat tabah, kerana itu Allah uji mereka begini dengan mengambil orang-orang yang mereka kasihi. Ya Allah, hilangkan rasa sedih dalam diri mereka. Bahagiakan mereka menjalani kehidupan ini tanpa seorang suami dan ayah.

Al-fatihah. Damailah disana.

Bertambah sedih bila ada yang fikir negatif mengenai kematian. Walaupun katanya 'orang kata', tapi itu keluar dari mulut dia. Sanggup dia berfikir sedemikian. Astagfirullah al'azim..


****

Entri ini telah ditaip sejak 2 hari lalu..tapi aku masih belum sempat untuk publish. Siapa sangka..giliran sahabat baik aku pula diuji dengan kehilangan ayahnya malam tadi. Ayahnya pergi ketika ingin mengambil wuduk untuk bersolat maghrib semalam. Mendengar perkabaran ini dari ayahku malam tadi, terus aku bergegas ke rumahnya. Ayahnya pergi ketika sihat walaufiat, tidak menderita sakit apa-apa. Semudah itu jika Allah mahu menjemput. Al-Fatihah. Ketika ini, aku baru sahaja pulang dari kubur. Bila lihat ruang-ruang kosong di kubur tadi, hati berdetik..untuk siapa ruang-ruang itu? Mungkin aku, mungkin keluargaku? Hati sebak, takut. Mampukah aku? Kita yang masih hidup, terus hidup sambil mengutip sebanyak mungkin bekalan untuk di bawa ke sana nanti. Al-Fatihah.

Rindu itu tanda Kasih. Penghubung rindu adalah Doa. Yang mendamaikan rasa itu adalah Redha.


Monday, February 4, 2013

Untuk kawan-kawan dan yang punya kawan

Kita kawan
Tapi kenapa perlu lawan

Kita serasi
Tapi kenapa ada iri hati

Kita bersama
Tapi kenapa jalan tak seirama

Aku buat salah
Kau pergi hebah

Aku ada kurang
Kau siap membilang

Aku ingin jadi baik
Kau buka aib

Aku ingin berubah
Hati kau macam susah

Aku mahu kau fahami
Kau perli-perli

Aku sedih
Kau merintih

Aku keliru
Kau menambah buntu

Apakah ini?
Kawan bukan begini
Kawan dari hati
Kawan sampai mati
Kawan, walau hati disakiti
Kawan, tak akan buat diri bersendiri

Apakah kau aku perlu hindari??



*******


Ukhuwah itu bukan pada indahnya pertemuan,
tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya.